
Monday, December 7, 2009

Friday, November 20, 2009
tidak sebegitu sukar wahai lelaki gatal.
>>langkah yang paling awal dari segala keawalan, ketahui apa yang digemari kebanyakan perempuan.
jawapan : coklat, aku maksudkan bahan cemila-cemilan dari buah koko itulah.
>>langsung itu, apa perlu diberi seluruh perempuan seketul coklat?
jawapan : oh tidak....itu terlalu mahal dan nampak menjengkelkan bukan. anda (para lelaki gata) cuma perlu mencipta semburan nyah bau (bukan nyah = mak nyah, tapi deodourant) berperisa coklat dan pastikan baunya sangat coklat.
>>apakah neraka (what the hell) ??
jawapan lebar panjang : bila anda berbau sepertinya coklat, anda akan kelihatan di mata perempuan seperti seorang lelaki tersenyum lebar panjang yang dicipta dari coklat, berjalan seorang diri dengan mata bulat-bulat.

segenap masyarakat perempuan yang berada dalam radius 110.2 meter dari anda akan menghendakkan anda, bayangkan nafsu perempuan terhadap coklat, begitulah nafsu mereka terhadap anda. bayangkan anda sedang berjalan di jalan Tun Abdul Rahman, tiba-tiba anda dikejar kaum perempuan, diterkam, diterjah, diratah serakus-rakusnya.



fenomena deras ini akan membasmi kegiatan ragut beg tangan, kerana yang akan ada hanya kegiatan ragut tangan.

lelaki yang berada di situ hanya mampu memerhati, melihat dari kejauhan, sayup-sayup nampak pasangan mereka berlari mahukan anda. tiada lagi yang terdaya mereka lakukan, barangkali meniru gaya anda tetapi tidak sedikit pun menghampiri kesamaan. hanya dengan baju berwarna coklat, oh sungguh membosankan...

dari itu, andalah selebriti yang bakal menenggelamkan kemasyhuran berita-berita berunsur seks di Harian Metro. anda kekal menjadi tumpuan media masa kini, terlalu disayangi dan disanjungi, parti-parti liar tidak lagi berasaskan minuman keras dan dadah terlarang, tapi berasaskan coklat, dan anda sebagai lelaki berperisa coklat adalah tetamu teristimewa, sudah tentu juga yang tebahagia.
Sunday, October 25, 2009
nescaya kau faham.
pada ahad terakhir setiap bulan oktober, masa di beberapa negara akan dilambatkan selama 1 jam, dan berlaku pada jam 2 pagi.
apakah?!
baik, beginilah. anggap saja anda menunggu di satu hentian bas. bas akan tiba tepat pada jam 0806. terketiknya waktu itu, tibalah bas di hentian itu. anda naik bas, bayar tambang dan buat senyum tak ikhlas kepada pemandu lantas duduk di atas kerusi sambil memikirkan apa yang harus anda buat semasa di dalam bas selain melontarkan pandangan liar terhadap gadis-gadis jerman di sebelah anda. namun bas tidak bergerak......
bas mengekalkan ketidakbergerakannya selama 60minit. dan tepat 60 minit selepas itu, bergerakkah bas dengan normal mengikut jadual asalnya.
WTH!! h untuk hanafi.... lalu anda merasa tidak puas hati dan jelik dengan perangai pemandu bas itu. anda melulu ke tempat pemandu dan menghadiahi pemandu bas satu tamparan manja sebagai tanda tidak puas hati..
pemandu bas menerangkan perbuatan tidak bergerak itu kepada anda. beliau kata, orang-orang di stesen seterusnya merasa jam 0806 masih terlalu awal untuk aktiviti harian dan mahu terus tidur, adalah tidak menguntungkan untuk meneruskan perjalanan. ketidakbergerakan itu adalah untuk manfaat semua. selesai penjelasan. beliau ketawa seperti anak setan. anda duduk kembali dengan tidak faham....
ya, itulah analogi perubahan masa dari masa musim panas kepada masa musim sejuk. itu terberlaku awal pagi tadi dan menimbulkan kekeliruan pada aku sendiri apabila jam di komputer lain dari jam tangan.
aku tahu kamu dan kamu tidak faham sangat. tidak mengapa, asalkan aku ada benda nak mengarut di sini....
Sunday, October 11, 2009
.:untuk mereka yang tahu dan tak tahu:.

maaf yusri, kau dirompak.
haha, kata-kata ini telah dirompak dengan jayanya oleh aku dari facebook kawan aku yusri. kebetulan pula lagi beberapa jam aku akan bertemu beliau lantaran beliau dan rakan-rakan lain membina rumah terbuka. benar bukan? rumah dibina, jadi rumah terbuka pun dibina...
selamat kembali ke blog yang jarang dikemaskini ini, terima kasih kerana masih bernafsu terhadap penulisan aku. maka sepertinya ayat yang dirompak itu, adalah benar juga ke atas aku. masakan tidak,aku dan yusri dua-dua menuntut dia negara jerman walaupun berbeda insitusinya. aku bukanlah terlalu baru tiba di negara ini, sudah masuk semester kedua. tapi masih tidak mampu menangkap segenap perkataan yang dilanjurkan dari mulut profesor. bukan mudah tahu. ditambah pula dengan kondisi aku yang baru tiba dari tanah air setelah becuti sepuluh minggu.

kemahiran bahasa jerman aku pastinya sudah meluntur dek terlalu banyak menelan lemang dan kuah kacang. dahulunya otakku berisi juga dengan ilmu yang dituntut dalam bahasa jerman, namun bila tiba raya, otakku terpaksa memberi ruang sedikit untuk lemang dan kuah kacang tatkala perut sudah terlebih muatan. tidak boleh tidak mahu, harus juga aku melangkah ke kelas, duduk di tempat yang sudah bagai aku punya, dan duduk menghadap sang profesor yang berhamburan kata-kata. penat kepala, otak, saraf serta pembuluh darah....aku tidak tipu, sungguh ini memenatkan. ada ketika mahu saja aku tidur lebih dari lapan jam.
seronok bukan andai dapat lena lebih dari lapan jam.
oh, dan aku hampir lupa. sekarang langit rajin menyimbah air ke bawah. tak pernah aku tahu jerman ini rajin dihujani. aku tak menyangka atau menjangka aku perlu mengenakan jaket kalis hujan aku hampir tiap-tiap siang. hujan di sini tidak selebat di tanah tumpah darahku malaysia, namun sudah tentu sejuk. sejuknya sekitar 10 darjah celcius. lebih sejuk dari peti ais kamu, peti ais anda dan peti ais kalian semua di bahagian bukan sejuk beku.
cis, semester ini perlu lebih keras usaha.
ah, sudah. dua perkara dalam satu penulisan, bukan cara aku begini.
Thursday, September 17, 2009
anda membeli mesin pemukul telur berkuasa eletrik murahan dari pasar mini kiat seong yang dekat sebelah pasar itu
Sunday, September 6, 2009
Kisah Pengembaraan di Atas Katil-katil Beroda
hospital serdang tidak pelik bagi aku, ini bukan kali pertama. tapi pelik juga datang hospital pada hari merdeka, senyap sunyi sahaja. yang ada cuma kelibat pakcik dan makcik penjaga keselamatan. setelah yakin keselamatan aku terpelihara oleh mereka, aku masuk.
"hari ni semua dokter takda la dey...semua cuti. nak masuk wad pirgi itu jabatan kecemasan", ujar jaga berkulit gelap itu.
cemas sekejap cakap seluruh doktor tiada, beliau cuma memperbesarkan cerita sahaja.
maka selepas aku mendaftar, aku diberi sekeping tag tangan,seperti mahu masuk ke konsert besar pula. dalam hatiku ketika itu sangat berharap agar ada jururawat berwajah indah di wad itu kelak.
naik tingkat 7, wad 7E, katil nombor 7.
setelah mereka berlalu pergi, keadaan sunyi kembali. namun datang seorang jururawat.
seorang doktor wanita muda yang menjalani latihan (housemenship) membuka bajuku dan merendahkannya hingga ke pinggang, memegang kepalaku sambil mengusap2 rambutku - oh seronoklah pula pengembaraan ini - sambil beliau berulang kali menyuruh aku membuka mata, barangkali beliau mahu mentenung mataku dalam-dalam. namun perlahan-lahan aku mempelajari bahawasanya itu semua hanyalah tipu daya serta helah orang-orang pembedahan. ketika itu diriku sedang didesak dengan sesuatu yang membuatku lemah tidak bermaya lantas hilang kesedaran.
bila aku buka mata semua, semuanya kabur - sudah tentu, dari tadi aku tidak berkaca mata. bahu kananku terasa sakit, badanku sejuk seperti mahu mati, menggigil seluruh tubuh sampai aku seronok mendengar gigiku berdetap-detap, sudah lama mahu buat begitu, bagai dalam cerita kartun.
"adik, adik bukan kat syurga atau neraka, adik hidup lagi ni......operation tadi dah abes"
ujar seorang jururawat yang setia di sampingku. ya, ayat di atas telah ditokok tambah.
aku sangat tidak selesa dengan tiub yang disangkut ke dalam rongga pernafasanku lalu minta dikeluarkan, barulah boleh membebel kesakitan dengan jayanya. aku rasa ada juga satu jam aku menderita dalam kegigilan dan kesejukan. selimut berkuasa eletrik itu pun tidak mampu membuatkan aku terasa hangat. akhirnya aku didesak dengan morfin (morphin) dan kelegaan beransur datang.
kerana kegigilan yang lama itu, sempat aku dengar jururawat itu mengeluh, namun dia tetap setia di sisiku. aku pula entah kenapa, rajin pula bertanya kepada beliau akan kadar jantungku. oh, sekali lagi aku sedar aku sudah bertukar katil, bukan lagi di atas meja bedah.
bila aku sudah lega, aku ditolak-tolak kembali ke wad pesakit, bertemu semula dengan pakcik-pakcik yang sakit itu. berbaringlah aku di atas katil menahan kesakitan, bila tidak tertahankan, memintalah aku akan jururawat ubat tahan sakit. esoknya pengembaraan ini tamat kerana akhirnya aku meninggalkan katil dan sudah tentu hospital itu.
dan bila sudah tiba di rumah baru aku sedar aku terlupa untuk mencuri bantal itu, cis!
bahagian "kalau mahu tahu juga":
arthroscopic right shoulder surgery, bankart repair due multiple dislocation, 2hours, fully anaesthetized.
Sunday, August 30, 2009
niat tak puasa...
lagi beberapa jam aku akan masuk wad dan esok aku akan melalui surgeri. difaktorkan bahawasanya surgeri ini akan melibatkan pelbagai barangan aku memasuki dan ada sebahagiannya terus menginap di dalam badan aku, maka tiadalah aku mampu untuk berpuasa. tambahan, bius pun mahu masuk juga.
doakan aku dapat nurse cun ya.
Saturday, August 29, 2009
tahap tertinggi

kepada para pembaca yang tidak kenal Wonderpets, gambar di atas memaparkan (dari kiri) Tuck, Linny dan Ming-Ming. maaf kerana itu sahaja gambar untuk kemasukan kali ini, kamera milik aku tidak bergerak dari posisinya di dalam laci akibat kemalasan tahap tertinggi yang berjaya dipamerkan penulis dengan cemerlang.
kepada mereka di luar sana, ketahuilah bahawa anda boleh untuk tidak menjadi malas di bulan puasa ini.
Saturday, July 25, 2009
Oh, mungkin juga kerana carutan itu tidak terlalu ganas.


dan bandar kecil dalam bayang-bayang matahari musim panas yang sedang membenam diri sendiri.
ini aku berjaya menangkap gambar hantu diri sendiri. itu bukan sepohon pokok tahu.
Jadi aku sudah satu semester bergelumang di sini, dari makna pelajaran, sangat tidak gemilang untuk semester ini, cuba lagi wahai aku. Aku menganggap sudah aku menjadi warga Aalen, dan sudah tentu warga Hochschule Aalen. Banyak juga yang aku lihat di sini membuatkan aku teringat perkara yang aku terdidik beberapa bulan ke belakang di CDC (Carls Duisberg Centrum).
Sedikit pemberitahuan mengenai CDC:
Sebuah institut yang mengajar pelbagai hal.
Kami yang tiba di awal januari dahulu di ajar perihal hidup di negara ini dan beberapa perkara lain mengenai pengajian yang bakal ditempuhi.
Hanya 3 minggu kami mengaji di sana.
Ya, mereka juga mengajar memasak dan menggunakan mesin basuh.
Cuma yang membuatkan aku kepala pusing adalah ketidaksamaan antara yang diajar dan dipraktikkan masyarakat Hochschule Aalen. bagi mereka yang jua mengaji di Hochschule, aku tidak pasti dengan Hochschule kalian. Begini:
Dulu kami diajar, makan di dalam kelas adalah tidak sopan, Cuma gula-gula dibenarkan. Tapi kini aku lihat, makan bukan satu hal untuk diperkatakan sekalipun. Boleh aja untuk kami makan apa yang kami mahu di dalam kelas. Atau lebih seronok, bila bosan kami keluar beli ais krim di kafeteria dan makan di dalam kuliah. Pernah aku terbayang untuk makan nasi ayam di dalam kelas, pasti mampu menimbulkan rasa lazat yang tidak pernah dikecap atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
Dulu kami dididik, tidur dalam kelas adalah salah dan satu perbuatan yang sangat pelik. Ah, masakan tidak ada orang yang tidur di tengah kuliah. Rakan sekelasku yang bermuka seperti Chris Martin (Coldplay) boleh dikatakan tidur setiap hari di tengah kuliah. Aku rasa beliau sangat pandai sehingga terlalu bosan.
Dulu kami dikata, datang lewat itu buruk. Tapi aku lihat kalau datang kelas lewat sehingga satu jam sekalipun tidak mendatangkan kemarahan atau kemaluan, padahal satu kelas Cuma berlangsung selama satu jam setengah. Kami bebas datang bila-bila kami mahu, keluar kelas bila-bila kami mahu, datang kelas juga kalau kami mahu. Bagus juga begini, kalau kelas tidak ramai orang, pandai-pandailah sang pengajar memperbaiki diri sendiri.
Dulu kami dibagitahu, carutan itu tidak sihat. Tapi dalam kelas aku lihat carutan itu perkara biasa tidak kira tua atau muda, tua kepada muda, muda kepada tua. Oh, mungkin juga kerana carutan itu tidak terlalu ganas.
Sunday, July 5, 2009
Pilih tajuk yang sesuai untuk artikel ini. (2 markah)
aku masih pening
dan secara fizikalnya sakit kepala.
sama seperti perasaan bila bola disepak tepat ke muka dengan halaju tinggi, atau tiada bola, cuma muka yang disepak dengan halaju tinggi.
sekarang mendung
aku panas secara benar
namun kakiku sejuk, adakah kakiku masih tertinggal di musim salju.
aku mungkin sudah layak berpindah ke pulau galapagos, lautan pasifik amerika selatan.
hanya kerana aku berjaya mengubah waktu tidur aku ke 6 pagi waktu jerman, bersamaan 12 tengahari waktu malaysia.
dan aku sudah rela dengan jadual eksaminasi yang keji lagi menjengkelkan, cuma kelas aku saja perlu menghadapi 5 kertas dalam masa 5 hari berturutan. cis!
Tuesday, June 23, 2009
Run through the meadow and scare up the milking cows
bukan selalu aku menulis di sini mengenai lagu yang aku suka, tapi nafsu aku tak tertahankan untuk tidak menulis. malah sekarang lagu ini berputar-putar berkali-kali sebagai lagu rasmi semasa mengulangkaji setelah aku penat mendengar seluruh koleksi lagi Rammstein dan album Dave Pearce Trance Anthems 2009. ya, genre lagu ini jauh berbeza dengan dua album di atas.
mungkin ada di antara kamu dan kamu, lagu ini berbaloi untuk didengarkan. sedikit info:
lagu > Love You
artis > Free Design
tahun > 1970, ya benar, sekarang sudah tua dan ini album mereka yang keempat
genre > sunshine pop, baroque pop
namun persoalan terbesarnya adalah mengapa sungguh aku meminati lagu ini sedangkan lagu ini sangat jauh berbanding lagu-lagu yang biasa aku dengarkan?
lihat liriknya:
Give a little time for the child within you,
don’t be afraid to be young and free.
Undo the locks and throw away the key
sand take off your shoes and socks, and run you.
La, la, la...
Give a little time for the child within you,
don’t be afraid to be young and free.
Undo the locks and throw away the keys
and take off your shoes and socks, and run you.
La, la, la...
Run through the meadow and scare up the milking cows
Run down the beach kicking clouds of sand
Walk a windy weather day, feel your face blow away
Stop and listen: Love you.
Roll like a circus clown, put away your circus frown
Ride on a roller coaster upside down
Waltzing Matilda, Carey loves a kinkatchoo
Joey catch a kangaroo, hug you.
Dandylion, milkweed, silky on a sunny sky
Reach out and hitch a ride and float on by
Balloons down below catching colors of the rainbowred, blue and yellow-green: I love you.
Bicycles, tricycles, ice cream candy
Lollypops, popsicles, licorice sticks
Solomon Grundy, Raggedy Andy
Tweedledum and Tweedledee, home free.
Cowboys and Indians, puppydogs and sandpails
Beachballs and baseballs and basketballs, too.I love forget-me-nots, fluffernutters, sugarpops
I’ll hug you and kiss you and love you
La, la, la... Love you.
ya, inilah 1970. tidak wujud komputer seperti yang kalian sedang mengadap sekarang apatah lagi televisyen berskrin rata milik kamu dan kamu. permainan masih wujud dalam bentuk fizikal dan bukan dalam skrin-skrin yang mengeluarkan cahaya. sedar bukan, lagu ini sendiri tidak cukup maju untuk mempunyai klip video.
Saturday, June 13, 2009
adakah ejaan stroberi tepat dalam bahasa melayu?
Dari petang tadi ramai saja yang berkunjung, segalanya kerana esok bakal wujud sebuah aktiviti memanggang makanan di awal musim panas. Ya, kami di negara ini lambat musimnya berbanding amerika atau beberapa negara eropah lain. maka malam ini dan esok bakal menyaksikan lambakan makanan tidak berkhasiat yang dibentuk dan disediakan kami : nasi ayam, tiga jenis kek, sate beserta kuah kacang, segala makanan umum pemanggangan, makaroni, mee, dan sudah tentu beras yang siap dimasak menjadi nasi, air berkarbonat murahan dari pasaraya berhampiran, dan susu goncang (milkshake) berperisa stroberi segar yang baru dipetik petang tadi. Oh, stroberi masih baru kami petik, justeru menu kami sedikit sihat.
Ya, aku sudah malas menulis mengenai perjalan ke Heilbronn dan Hungary. Tidaklah aku membuat pengembaraan lama, atau berjalan kaki beberapa ratus kilometer. Cuma yang mahu katakan, heilbronn seronok kerana bandarnya cantik. Hungary pula menarik kerana kepelikan budaya mereka dan ramainya bangsa israel di sana. Haha, kami hampir makan di sebuah restoran israel, restoran itu pula berada di dalam sinagog (tempat sembahyang orang yahudi). tetapi rupa gerun yang ditonjolkan isi hiasan dalaman restoran itu membuat kami hanya berani melihat ke dalam hanya sekali. Hasil dari kedua-dua perjalanan yang berturutan itu, kulit aku menjadi gelap. Malah mampu membuatkan orang putih di sini cemburu.
Hanya kerana aku jarang menulis, jangan anggap aku jarang membaca. Setiap hari aku singgah di blog-blog lain. dari situ aku jumpa ciri-ciri blog yang aku suka. Perhatian, ini sekadar kesukaan peribadi dan jangan ambil hati jika rasa terguris hati.
>>Blog ditulis dalam bahasa melayu bila penulis itu pandai berbahasa inggeris.
>>Blog tidak mempunyai terlalu banyak gambar sehingga membuatkan pembaca penat memutar
roda kecil pada tetikus. Namun ketiadaan gambar sememangnya sangat membosankan dan menggambarkan tahap kemalasan si penulis.
>>Blog menulis tanpa emosi yang berlebihan. Namun memang ada penulis menggunakan blog sebagai tempat melepas perasaan, tidak salah Cuma bukan kesukaan aku.
>>Aku tidak suka blog yang ditempelkan lagu padanya. Menggangu pendengaran aku terhadap iTunes yang sudah sedia terpasang di dalam komputer.
>>Blog menggunakan bahasa yang mudah difahami, tidak mengira bahasa apa yang digunakan.
>>Blog menggunakan templat yang tidak diguna orang lain. haha, aku suka bila semua orang tidak sama dengan semua orang.
maka tiba sudah kalian ke tempat aku menampalkan gambar-gambar pilihan.
berikut pula gambar-gambar dari Budapest, Hungary.
Saturday, May 9, 2009
Sudah 9 mei dan baru pos pertama.
haha, maaf kepada para pembaca dan pengintai yang setia dek ketiadaan pembaharuan pada blog ini. Aku sudah mula tenggelam dengan kesibukan, kerisauan terhadap pelajaran dan di perjalanan masa yang sibuk dengan pembelian-di-atas-talian (online-shopping) yang memberi ketagihan serta menghilangkan duit sebelum sempat duit itu menjadi wang tunai yang boleh dipegang-pegang.
Maaf juga kepada seluruh rakan-rakan di negara jerman ini kerana kemalasan untuk menyertai aktiviti bersama kalian. Kerana tidak tertahan dengan kritikan beberapa manusia yang kritis dan kreatif, marilah bersama-sama aku menyenaraikan sebab-sebab aku malas meninggalkan bandar Aalen ini:
#1 Deutsche Bahn (Kompeni seperti KTMB di Tanah Melayu) sedang melakukan pengubahsuaian menghala ke utara dari Aalen. Maka perjalan ke utara menjadi semakin menjengkelkan. Namun perkembangan ini juga bukti bahawasanya Aalen bukan kampung kerana menjalani kemajuan dan peningkatan dari segi sistem pemindahan manusia dan barangan lantas memerlukan penaiktarafan perhubungan.
#2 Aku mahu menjimatkan duit supaya aku dapat menjalani pembedahan di tanah air kelak. Semoga aku selamat.
#3 Aku mahu belajar. Sungguh aku risau dan pelik mendengar perihal dan kisah sering menyebut ayat “nak watpe ni, aku tak tau nak watpe skarang”. Ya, aku mahu saja tumbuk buah pinggang kalian yang selalu menyebut ayat atau frasa di atas secara kerap dan spontan. Mungkin kerana kalian lebih pandai dan aku kurang dari itu, lalu aku perlu berusaha lebih gigih dalam pengajian. Atau kamu semua tidak sedar betapa bahayanya mengambil ringan pelajaran hanya kerana beberapa perkara di dalam Vorlesung (Bahasa Melayu : kuliah) sudah dipelajari. Sedarlah duhai rakan-rakan, usah asyik dengan laman beli-belah Ebay atau mana-mana yang sejenis dengannya, atau rajin benar menjelajah negara baru ini dengan alasan wang banyak dan cuaca indah. Kedua-dua alasan itu sangat membosankan.
Demikian tiga(3) alasan diberi. Maaf, ayat panjang dan kompleks digunakan.
Kadangkala aku merasa baik juga aku tidak menyertai aktiviti-aktiviti dengan kalian kebelakangan ini kerana masalah-masalah kelakar yang timbul. Ya aku kecewa mendengar kisah-kisah yang terjadi. Banyak benar cerita-cerita angin yang aku dapati dan aku malas mahu memihak siapa-siapa. Apakata lupakan saja.
Maka tamat sudah bahagian yang berfaedah, mari mencelah di celah-celah hutan Aalen.
hampir 500 meter dari aras laut tahu.
Saturday, April 11, 2009
marimelihatkeluartingkap
berbasikal di bandar ini tidak mudah tahu, berbukit-bukau. mampu membuat anda menghargai udara yang selama ini diabaikan kerana tidak kelihatan di mata.
Thursday, April 9, 2009
Kaufland

haha, dan di sebelahnya pula buah avokado dari israel. sekadar selingan.
harga sebiji belimbing 1.49 Euro (RM7.15), untuk mereka yang ada di Malaysia, hargailah buah-buahan tempatan.
Saturday, April 4, 2009
hariboharibohariboharibohariboharibo
haribo ni benda yang agak popular di eropah, semua mahu merasa cemil-cemilan yang kenyal ini. bukanlah rasanya yang menarik, cuma kekenyalannya menjerumuskan pemakan ke dalam ketagihan.
aku cuma gembira wujud haribo yang halal.