! ! BajuLusuhSeluarTampal: pergi ke kedai Triumph untuk tidur.

Pages

Thursday, July 22, 2010

pergi ke kedai Triumph untuk tidur.


kisahnya bermula dengan cita-cita menggunung mahu membawa tetamu yang datang pergi memetik strawberi selepas selesai bersakit-sakitan dalam dunia peperiksaan. maka bergeraklah kami dari rumah masing-masing di pagi yang tidak lagi hening. matahari sudah tinggi menyeksa mata yang kononnya sensitif. kemalasan tahap tertinggi dijelmakan dari diri dengan gaya tidur yang sepertinya mahu tidur pagi sampai ke pagi esoknya.

mari nikmati foto dari musim terdahulu yang membuatkan aku mahu lagi memetik strawberi. foto ihsan Khairi Hafsham.








tapi, janji kepada tetamu adalah mulia, harus dibuat dalam kadar ekspres. pergilah juga kami ke ladang strawberi yang nan permai itu. sedang dalam perjalanan itu, aku dan dua lagi manusia melakukan hentian-hentian bersukaria seperti :

>mengepos barang,

>masuk supermarket,

>membelek sabun mandi dua dalam satu di supermarket sambil menyesali pembelian yang dibuat di
supermarket lain,

>makan pagi di depan kedai roti,

>mentertawakan gadis yang mahu masuk pintu automatik namun tiba-tiba pintu itu berhenti secara dramatik lalu menghasilkan bunyi gedegang!

sebelum tiba saat kunci basikal dibuka, terdamparlah satu panggilan ke telefon bimbit, menghantar ayat yang paling mengecewakan. rakan kami ada yang sudah tiba dahulu di ladang strawberi nan permai itu berkata" "Die Saison hat beendet". mafhumnya: "musim (stroberi) telah berakhir."

arghh!

nafsu kepada strawberi yang membuak-buak seketika tadi lenyap dengan pantas, sepantas tumpai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. okey, peribahasa salah malah tidak sesuai, haha...

tetamu sudah lapar tidak bersarapan, maka diangkut kedua-dua tetamu ke cawangan mcd terhampir. sekarang musim panas, burger udang sudah kembali ke pasaran mcd. alah, datang ke mcd pun bukan punyai banyak pilihan. para tetamu jemputan melahap burger udang, tatkala aku menjadi tukang penghabis kentang goreng mereka.

kegagalan membawa tetamu memetik strawberi harus diberi pampasan. setelah bermusyawarah selama lima belas minit di bawah matahari, maka membawalah kami akan diri-diri kami ke suatu tempat. Factory Outlet Triumph. sekecil-kecil bandar Aalen ni, bukan sahaja ada kilang Triumph, Factory Outlet pun ada.

kenapa mesti ke sana? kerana pengembaraan hari ini terbina dari 4 wanita dan cuma 2 lelaki dan aku tidak kisah pun ke mana-mana asalkan dapat duduk dan menyorok dari cahaya matahari.

merambanglah mata-mata mereka mencari pakaian dalam dan luar di kedai Triumph itu. sudahlah berjenama, murah pula. tetapi para lelaki hanya mampu duduk di sofa. di atas sofa paling lembut pernah aku rasa, tidak pernah lagi di dunia ini punggung aku dibelai manja oleh mana-mana sofa setanding ini, kelembutannya memberi ketenangan hingga menjilat jari. lantas tidurlah kami di atas sofa itu dengan sopan, tidak menumpahkan air liur.

hasil dari kepergian kami ke kedai triumph itu, aku belajar satu perkara. jenama triumph dan sloggi tidak lupa untuk menghasilkan produk untuk lelaki. tapi aku rasa aku segan nak memakai jenama itu.

habis berbelanja, mereka mahu meneruskan perjalanan, tapi aku sebenarnya mahu terus tidur di kedai triumph itu, enak sungguh.

kami masuk ke supermartket bernama kaufland, namanya sungguh menjengkelkan bila sudah dengar beberapa ribu kali. masuk, beli kepak ayam dan lain-lain, keluar. kepak-kepak ayam itu dipanggang di malam hari. pemanggangan atau dalam bahasa popularnya "BBQ" adalah perkara yang dibuat sekali atau dua kali dalam sebulan. namun malam ini mencatatkan kehebatan baru dalam dunia penerbangan moden.

kegagahan angin malam ini membuat kami menjerit-jerit kekaguman kerana angin mampu menerbangkan set bbq kami. aku masih menangisi kerugian makanan akibat penerbangan set bbq itu. sekian.

2 komen komen oltromen:

baincardin said...

Salam.

Cahaya-Bagaimanakah rupa kebesarannya? Jom kita menghayatinya bersama! ^_^

Anonymous said...

photography yg sgt cntik!!

Post a Comment