! ! BajuLusuhSeluarTampal: September 2009

Pages

Thursday, September 17, 2009

anda membeli mesin pemukul telur berkuasa eletrik murahan dari pasar mini kiat seong yang dekat sebelah pasar itu


kewujudan aku di tanah air ini tidak akan bertahan lama lagi, sekadar mampu beraya seminggu lebih lalu perlu meninggalkan negara ini. namun pengembalian aku kali pertama ini seharusnya membuat aku sedar kepeningan bahasa inggeris di negara ini, ya kepeningan, baca benar-benar. justeru hendaklah ditangani kepeningan ini dengan mencakap kepentingan bahasa inggeris dengan harapan ada orang mahu belajar bahasa inggeris betul-betul.




aku cuba tulis sedaya usaha aku untuk kalian tidak perlu berusaha sedaya upaya memahami, biar senang fahamlah. faham tak?




#1 : melihat wayang di midvalley, genre cerita adalah komedi bangang bahasa inggeris. percayalah, dengan pengetahuan bahasa ineggeris yang baik, anda mampu mengumpul lebih banyak ketawa. sebab ada masa anda memahami lawak sarkastik yang memerlukan pemikiran sebelum tiba ke kelucuan. anda boleh gelak di waktu ramai tidak faham apa-apa, kemudian boleh disambung mentertawakan mereka yang tidak faham apa-apa. kemudian boleh lagi, jika mahu, mentertawakan nasib bangsa sendiri yang lemah dalam memahami bahasa inggeris.




#2 : menengok cerekarama di tv3, para penonton terdiri dari ahli-ahli keluarga. anda tahu bukan, cerekarama biasanya disertakan dengan sarikata terjemahan bahasa inggeris yang selalunya muncul lebih awal dari terpaculnya dialog dari mulut pelakon. tanpa perlu perancangan rapi, anda dan ahli keluarga anda mampu menganjurkan pertandingan "siapa cakap dahulu". mudah sahaja, bila sarikata terjemahan dalam bahasa inggeris muncul, bercepat-cepatlah meneka dialog dalam bahasa melayu yang bakal disebut oleh pelakon. jika anda merasa sudah mencapai tahap kecemerlangan dan kehebatan dalam acara ini, bolehlah maju setapak ke hadapan dengan berubah kepada drama bersiri bahasa inggeris di ntv7, nescaya anda akan menemui lebih banyak cabaran di sana.




#3 : raya sudah hampir dan anda merasa konon hebat untuk membuat kuih raya sendiri buat kali pertama walaupun tahu kuih raya kalau dibeli jauh lebih murah kosnya. anda membeli mesin pemukul telur berkuasa eletrik murahan dari pasar mini kiat seong yang dekat sebelah pasar itu. alat itu dibuat di PRC. itu sebuah negara tahu. nama mudahnya ialah China. dengan membeli barang ini, anda boleh mendapat sedikit komedi sebagai hadiah pembelian. mudah. anda buka kotaknya, cari kertas atau buku manual yang disediakan. alat eletrik memang perlukan manual, namun alat eletrik dari China, manualnya ditulis dalam bahasa inggeris yang tunggang langgang. bagaikan menggunakan tatabahasa mengikut nafsu serakah sahaja. kebobrokan tatabahasanya mampu mengundang kelucuan di hati pembaca. dalam masa yang sama, anda tidak akan merasa ilmu bahasa inggeris anda adalah yang terbodoh di rantau ini.


inilah 3 situasi genting lagi merbahaya yang memerlukan penguasaan bahasa inggeris yang baik. jadi adik-adik, marilah belajar bahasa inggeris betul-betul ya.


ini aku sedari bila tinggal di negara kita yang tidak boleh tidak menguasai bahasa inggeris. bila aku di negara jerman, bahasa inggeris bukanlah penting, semuanya sudah tersedia dalam bahasa ibunda (dan ayahanda) mereka.

Sunday, September 6, 2009

Kisah Pengembaraan di Atas Katil-katil Beroda

kesian diriku, sampai kedua-dua belah tangan kena gantung kerja.

penat juga menulis tajuk dengan segala huruf besar dan kecil. 8 hari yang terdahulu dari hari ini, sungguh aku telah masuk ke wad hospital serdang untuk menyerahkan tubuh kepada Cik Bedah. eh, bukan. untuk menyerahkan tubuh kepada para pembedah manusia.


hospital serdang tidak pelik bagi aku, ini bukan kali pertama. tapi pelik juga datang hospital pada hari merdeka, senyap sunyi sahaja. yang ada cuma kelibat pakcik dan makcik penjaga keselamatan. setelah yakin keselamatan aku terpelihara oleh mereka, aku masuk.



"hari ni semua dokter takda la dey...semua cuti. nak masuk wad pirgi itu jabatan kecemasan", ujar jaga berkulit gelap itu.



cemas sekejap cakap seluruh doktor tiada, beliau cuma memperbesarkan cerita sahaja.



maka selepas aku mendaftar, aku diberi sekeping tag tangan,seperti mahu masuk ke konsert besar pula. dalam hatiku ketika itu sangat berharap agar ada jururawat berwajah indah di wad itu kelak.


naik tingkat 7, wad 7E, katil nombor 7.


"kak, saya nak masuk wad dan saya tak tau nak buat apa", berkata aku.


"hihi (gelak comel), meh sini. masuk 2nd class",


berkata jururawat comel berkulit cerah yang bukan kegemaran aku.

maka aku pun masuk melihat sekeliling, wad kelas kedua memang 4 katil sebilik, 1 bilik mandi dan 1 tandas.

pakcik katil depan, melayu, 60-an, kaki patah dan pelbagai penyakit.
pakcik katil sebelah, cina, 70-an, lutut manyak sakit maa dan pelbagai penyakit.
pakcik katil depan sebelah, melayu, 50-an, mendakwa mengenali aidilf nordin, mempunyai pelbagai penyakit misteri yang mencetuskan suasana tegang di kalangan para doktor sampai doktor memaki hamun doktor lain.

hari pertama masuk wad memang membosankan, tapi katil ini bergaya juga ya, boleh naik turun macam-macam, sangat sesuai untuk mereka yang suka tidur selepas sahur. duduk sahaja di katil beroda ini adalah membosankan, justeru baiklah dilompat sahaja kisah ini.
keesokkan hari,
aku dilawati 8 orang pelajar perubatan, seronok juga sehingga aku tertanya-tanya, mengapakah pelajar perubatan wanita selalunya berwajah indah dan comel belaka. bahagia aku sebentar pagi itu malah merelakan diri menjadi bahan ujikaji mereka yang jarang bertemu pesakit dengan kondisi kesihatan seperti aku. aku bukan tidak biasa begini, sudah 3 tahun jadi model untuk golongan ini. aku diseparuhbogelkan oleh mereka, dipegang-pegang, ditekan-tekan. aku penat juga hendak mengekalkan perut yang tidak bulat di hadapan mereka.

setelah mereka berlalu pergi, keadaan sunyi kembali. namun datang seorang jururawat.
"dik, pakai ni, tanggal segala benda len, spek mata, gigi palsu, suar dalam pun tanggal tau"
aku menurut saja kemahuan dan kehendak jururawat itu meskipun pemakaian sedemikian rupa sangat seksi. kemudian aku disuruh naik ke atas sebuah katil yang lain dari biasa, kecil sahaja, diberi penutup kepala, aku ditolak-tolak hingga tiba ke teater pembedahan. di situ perlu pindah katil lagi. maka ditolak-tolak lagi masuk lebih dalam ke dalam teater pembedahan yang segalanya berwarna hijau. tiba di sebuah bilik pembedahan, perlu tukar katil lagi. atau kali ini lebih tepat, meja. meja bedah manusia.

tiba sahaja di bilik bedah itu, aku disambut dengan lagu Fall For You - Secondhand Serenade, seronok juga bilik bedah ini, sentiasa ada lagu orang putih.

aku masih ingat kehebatan dan keagungan batal kepala yang dihinggapi kepalaku di atas meja bedah itu. diperbuat dari gel, bentuknya kecil sahaja, namun mampu mendakap kepalaku dengan kemas hingga aku bercita-cita mahu mencuri bantal itu selepas tamat pembedahan.



seorang doktor wanita muda yang menjalani latihan (housemenship) membuka bajuku dan merendahkannya hingga ke pinggang, memegang kepalaku sambil mengusap2 rambutku - oh seronoklah pula pengembaraan ini - sambil beliau berulang kali menyuruh aku membuka mata, barangkali beliau mahu mentenung mataku dalam-dalam. namun perlahan-lahan aku mempelajari bahawasanya itu semua hanyalah tipu daya serta helah orang-orang pembedahan. ketika itu diriku sedang didesak dengan sesuatu yang membuatku lemah tidak bermaya lantas hilang kesedaran.


bila aku buka mata semua, semuanya kabur - sudah tentu, dari tadi aku tidak berkaca mata. bahu kananku terasa sakit, badanku sejuk seperti mahu mati, menggigil seluruh tubuh sampai aku seronok mendengar gigiku berdetap-detap, sudah lama mahu buat begitu, bagai dalam cerita kartun.


"adik, adik bukan kat syurga atau neraka, adik hidup lagi ni......operation tadi dah abes"
ujar seorang jururawat yang setia di sampingku. ya, ayat di atas telah ditokok tambah.

aku sangat tidak selesa dengan tiub yang disangkut ke dalam rongga pernafasanku lalu minta dikeluarkan, barulah boleh membebel kesakitan dengan jayanya. aku rasa ada juga satu jam aku menderita dalam kegigilan dan kesejukan. selimut berkuasa eletrik itu pun tidak mampu membuatkan aku terasa hangat. akhirnya aku didesak dengan morfin (morphin) dan kelegaan beransur datang.


kerana kegigilan yang lama itu, sempat aku dengar jururawat itu mengeluh, namun dia tetap setia di sisiku. aku pula entah kenapa, rajin pula bertanya kepada beliau akan kadar jantungku. oh, sekali lagi aku sedar aku sudah bertukar katil, bukan lagi di atas meja bedah.


bila aku sudah lega, aku ditolak-tolak kembali ke wad pesakit, bertemu semula dengan pakcik-pakcik yang sakit itu. berbaringlah aku di atas katil menahan kesakitan, bila tidak tertahankan, memintalah aku akan jururawat ubat tahan sakit. esoknya pengembaraan ini tamat kerana akhirnya aku meninggalkan katil dan sudah tentu hospital itu.


dan bila sudah tiba di rumah baru aku sedar aku terlupa untuk mencuri bantal itu, cis!

bahagian "kalau mahu tahu juga":
arthroscopic right shoulder surgery, bankart repair due multiple dislocation, 2hours, fully anaesthetized.


baiklah, gambar di atas tadi tipu sahaja. tangan kanan sahaja yang terlibat.

kepada para pembaca, sila teka label saiz yang dijahit pada seluar hospital ini. adakah saiz S.